Thursday 27 February 2014

pura-pura?

harus tahu membezakan
samada kita
masih mencintai orang itu
atau kita
hanya mencintai kenangan 
bersama orang itu.

Kenangan walau sudah bertahun
tetap kekal sama
Orang itu kalau sudah bertahun
mudah atau sudahpun berubah
tidak lagi serupa

Tahu kah kita 
beza antara keduanya?
atau kita lebih selesa
membutakan mata
mematikan rasa
terus hidup dalam pura-pura.




kosong khasiat?

cinta itu menimbulkan rasa tenang
yang menimbulkan rasa stress 
bukan cinta namanya.
|
|
|
|  
itu mi segera Cintan
walaupun lazat
tapi mengenyangkan hanya sesaat
juga kosong khasiat
*monolog orang lapar*

Tuesday 25 February 2014

cinta atau benci?

Apa saja yang kita baja dan jagai
akan hidup dan terus bersemi.
Cinta atau Benci.

Apa saja yang kita tidak hirau dan tidak peduli
akan pupus dan terus mati.
Cinta atau Benci

Pilih hati-hati
mana satu benih
yang kita ingini
untuk terus hidup 
atau dibiarkan mati.

  

E?

Pilih satu.
A. Menjaga hati
B. Hipokrit
C. Penakut
D. Kesemua di atas


Apabila kita harus membuat keputusan 
tetapi masih bertangguh-tangguh.


Harap-harap ada pilihan E.


E. Tunggu dan harap masalah akan selesai dengan sendirinya.




Uurgghh!
*tarik-tarik rambut sendiri*



Yang menangguh-nangguh,
SueSenahAnderson

Monday 24 February 2014

hebat?

Satu malam, empat tahun dulu, aku berjumpa seorang kawan baru. Waktu itu aku berumur 44. Kawan perempuan aku itu sudah di awal 50an. Mungkin 51 nak masuk 52. Cantik. Lincah. Bersemangat positive. Dan sangat konfiden. Malam itu diterangi oleh cahaya dari mata dia. Serius aku kagum.

Malam itu, sebelum pulang, ketika mengucapkan 'goodbye' yang memakan masa 10 minit atau lebih...dia berkata kepada aku..."kalau kau suka umur kau sekarang...kau tunggu bila kau masuk 50. Masa tu baru kau tahu...40an hidup baru bermula...bila dah 50 baru kau tahu...kita semakin hebat." 

Kalau sebelum ini aku memang rasa selesa dan ya...mungkin 'hebat' ketika berumur 44...tapi selepas mendengar dia berkata begitu, aku jadi tertanya...sehebat mana lagi?  Seperti dapat membaca hati aku, perempuan 'hebat' itu menarik aku dekat dengannya dan berbisik "nanti kau akan tahu." Selepas berlaga pipi dengan pipi kami pun berpisah. Kami tidak pernah berjumpa lagi selepas itu.

Sekarang, empat tahun kemudian, ketika usia merangkak ke ambang 50an, aku mula faham apa yang dia kata. 'HEBAT' memang perkataan yang tepat. Menjadi tua dan tidak sendat di sini sana itu memang biasa di usia sebegini. Tapi itu isu luaran. Itu kita cerita lain kali. 'HEBAT' yang dimaksudkan di sini ialah hebat di jiwa dan di minda. 

Ada sesuatu yang manis tentang '50' yang agak sukar diterangkan. Yang aku berani cakap begini, aku sangat selesa dengan 'kulit' yang aku pakai sekarang. Ia memberikan aku suatu kekuatan dan ketenangan yang luarbiasa untuk merempuh badai kehidupan dengan yakin yang total. Tidak buru-buru. Tidak kalut atau takut melulu. Setiap masalah yang timbul (dan masalah aku tidak terhitung banyaknya, percayalah!) aku yakin tuhan mahu aku tawakal dan redha dengan keputusanNya dan bersandar harap hanya pada Dia. Dia maha berkuasa dan Dia tidak sesekali menganiayai hambaNya. Jadi mengapa perlu gabra dan gundah gulana? Allah kan ada? Yakinlah dengan tenang, semuanya akan baik-baik saja.

Di usia yang sebegini, diberiNya aku kekuatan, keyakinan dan ketenangan yang sebegini.. inilah nikmat namanya. Inilah hebat namanya. Alhamdulillah. 

Dan sekiranya ada jodoh aku berjumpa kawan itu sekali lagi, aku nak cakap pada dia begini, "Yes Sherry, you are right... di usia 50an, kita memang hebat!" dan aku akan peluk dia erat-erat.




Yang akan terus kekal hebat,
SueSenahAnderson.














Kalah?

'Mengalah bukan bererti kita lemah atau salah. Tidak juga bererti kita kalah. Kadang-kadang mengalah itu bererti kita sudah memiliki kemenangan dalam medan peperangan dengan diri sendiri.'

Aku suka falsafah yang kat atas tu. Dengan bangganya aku tempek kat wall FB aku 2 atau 3 bulan lepas.Tapi...kihkihkih... ingat mudah nak buat?! Itulah... siapa kata kita makin tua makin matang? Cakap pandai... tapi tak serupa bikin! Ini aku kata tentang diri aku sendiri, bukan pasal orang lain.

Dulu makcik aku pesan kat aku. Dia kata, "Sue, ingat ya... kita mengalah untuk menang." 

Masa itu aku akur. Iyelah...betul lah kata dia. Dia kan lebih banyak makan garam dari aku. Aku pun ikut pesan dia. Aku mengalah. Dan mengalah. Dan mengalah lagi. 

Tapi kalau aku jumpa makcik aku tu sekali lagi...kali ni aku nak cakap macam ni kat dia, "Tapi makcik, kalau kita saja yang mengalah...penat juga! Orang naik mua... makin banyak lemak. Seronok kepala kita dihinjak-hinjak!" Aku nak tengok, apa dia jawab. Habis kuat, aku gerenti sure dia suruh aku sabar. 

Kalau dia cakap macam tu, aku nak kasik tau dia yang aku sekarang sudah habis sabar dan tidak mau main teknik mengalah-ngalah ni dah. Aku nak mintak dia tips lain pulak!


yang malas nak mengalah dah,
SueSenah Anderson

bingung?

menung
bermenung
termenung
ditenung

untuk seketika
semua jadi bingung.

Sunday 23 February 2014

Kosong?

terasa kosong dalam hati
yang kurang itu ada
tapi entah apa
dan tidak pasti

terasa kosong dalam hati
sudah puas mencari
tapi yang terjumpa
bukan pengisi

terasa kosong dalam hati
mungkin itu adalah kamu
mungkin juga itulah aku
yang rindu pada kamu.



bertambah uban?

Kadang-kadang
bertambah umur
tidak semestinya
bertambah matang

Mungkin hanya uban
bertambah di sini sana
tetapi masih kurang akalnya
di dalam kepala.

Saturday 22 February 2014

satu lagu?

Berikan aku
satu lagu
lagu kita dulu-dulu
biar aku ingat
manisnya kamu
saat pertama
mata kita bertemu

Berikan aku
satu lagu
yang kita dendang
berdua dulu
lagu kamu
lagu aku
untuk rawat jiwa rindu
saat aku teringat kamu.

ikan?

aku ini ampatplolapan
bukan doplolapan
sekilas ikan di air
sudah ku tahu
sedap dipanggang
atau disinggang
atau perlu di buang 
ke dalam longkang

Friday 21 February 2014

Fikir?

Yang menjadi masalah besar ialah apabila:

1. Kita terus bertindak tanpa berfikir-fikir
2. Kita terus berfikir-fikir tanpa bertindak



Seiring?

Yang normal pada aku
mungkin abnormal pada kamu
Daging atas pinggan kamu
mungkin racun pada tekakku
kita manusia lain-lain acu
bukan dicetak seperti buku
sama satu, sama seribu.

tapi kita buleh cuba
bargabung untuk bersama
yang serupa kita padu
hormat yang tak sehalu

tapi jika 
usaha sudah kering
bahu masih tidak seganding
berjalan masih tidak seiring
usah tunding-menunding
kita keluar ikut pintu asing-asing
dan corak hidup masing-masing. 



Thursday 20 February 2014

Damai?

Damai itu tidak jadi
dengan sekadar kata2 motivasi
bergayut dibibir
atau berderet tersusun di wall FB
dari malam hingga ke pagi

Damai itu tidak jadi
dengan hanya membuat huruf 'V'
di jari jemari
bergambar untuk dilayari
di twitter maupun di IG

Damai itu tidak jadi
jika ego melangit tinggi
dengan marah dan dengki
masih memerintah diri

Damai itu jadi
jika kita ikhlas dan sudi

memaafi dan melupai
segala dendam
dan sakithati. 













Jahit Mulut?

 Jika kamu fikir
membahasakan aku itu
satu pencapaian diri
Kau gondol lah trofi 
rangkul lah hingga mati

Tapi
aku usah diajari
tentang kurang ajar.
Peperiksaan itu
aku lulus cemerlang
Berulangkali.

Anggap saja
kamu beruntung kali ini
bila aku memilih
untuk menjahit mulut
dan berdiam saja di sini.


Tidur?



Mari pasangkan tirai harapan di jendela malam.
Rehatkan minda yang lelah
bertenang dan tidurlah
Semoga mimpi-mimpi manis menyelimuti kita
Esok pagi kita sambut matahari
dengan senyuman dan secawan kopi.

Tiada Pilihan?

Bila tiba di T-junction, kita harus memilih untuk membelok ke kanan atau ke kiri. Agak sukar membuat pilihan bila kedua-duanya tidak menggamit selera yang melorong ke jalan bahagia. Sebelah derita dan sebelah lagi sengsara.

Tidak menggembirakan hati sama ada membelok ke kanan atau ke kiri.


Hangat?


Wednesday 19 February 2014

Tanpa Bicara?

Senyum meluah rasa
Mata merungkai cinta
Mesra tanpa bicara

Di peluk dingin malam
kulitmu hangat dihujung jemariku
Keras nafasmu membahang di telingaku
lantas membakar
darah gelora di dadaku.


Komunikasi?

Komunikasi itu begini:
Apabila seorang bercakap, 
kita mendengar untuk faham.
Bukan mendengar untuk membelasah.

Juga bukan olok-olok mendengar
atau olok-olok memahami.

Kopi Pagi?

Cinta itu membuat kita rasa nyaman, tenang dan aman. Bukan dipanggil Cinta jika kita tidak merasa bahagia. Seperti Nescafe dan saya ....aaaahh... kami memang bahagia bersama.

Tuesday 18 February 2014

Langit Kita?


Tak Malu?

Rindu
memang tak tau malu
Tak dijemput dan tak diseru
tapi datang
mengetuk pintu kalbu
singgah dan bertamu
tanpa ada segansilu

Sakit?

Dulu
Kau buat orang
Kau suka hati
Kau lupa diri.

Ini hari
Orang buat kau
Eh? Kau emosi?
Baru kau rasai
Sakitnya bila disakiti?

Ditambat Kepaknya?

Kita adalah Sang Helang
Bisa gagah terbang
Merentas langit dan laut biru.

Tapi acapkali
mimpi untuk hinggap
di dahan dan puncak gunung paling tinggi
pecah bertabur
di celah kaki
yang  berantai dan  bergari.



Maaf?

Kemaafan.
Adakah ucap maaf
yang lancar terlisan di bibir
mampu memadam
parut yang bertapuk
di hati?

Di Mana Lena?


aku tidak mampu
pujuk mengantuk yang rajuk

yang  lari sembunyi
di balik tirai pagi

meninggalkan aku yang rindui lelap
rindui tidur bersulam mimpi sedap.
 







Tidak Sama?


Bahagia kita berbeza.


Yang membuat kita tersenyum mungkin tiada makna kepada mereka.


Kadang-kadang yang melukakan kita itulah yang membahagiakan mereka. 


Sunday 16 February 2014

Mana Mungkin?

 

Cinta, Kasih, Rindu
Mana mungkin wujud
Tanpa mana-mana satu.


jatuh cinta?

Jatuh cinta itu mudah
Bercinta itu indah
Yang jadi masalah
Bila cinta aku kamu ambil mudah
dan kamu harap cinta kekal indah
tanpa kamu perlu bersusahpayah.


Pemburu, Pemalu dan Lembu?


Bila nak dapat kita

Mereka jadi Si Pemburu
Kita dicari-cari
Dikejar-kejar
Dipuji pujukrayu
Siang malam dirindu-rindu.

Bila sudah dapat kita
Mereka jadi Si Pemalu
Pandang kita nampak tak nampak
Layan kita acuh tak acuh
Kita dekat tapi rasa jauh berbatu.

Bila dah dapat kita
Mereka jadi Si Lembu
Mengidamkan rumput hijau gebu
Segar terbentang
di padang seberang.
Kita ini hanya jadi lalang
Rimas dan semak
mata mereka memandang.






Bahagia?

Kata Joan of Arc, "Setiap pertandingan, kalah atau menangnya terlebih dahulu terjadi di dalam minda kita." Jadi... jika mau bahagia, minda perlu menjadi bahagia dahulu. Semudah itu? Ya.

Bangun pagi...ucap syukur dan senyum. Kemudian sambil berjalan ke bilik air...senyum dan baca mantera, "aku bahagia." berulangkali.


Semasa dan selepas buang air...terus baca mantera "aku bahagia." Bukan semua orang bernasib baik dapat membuang air selancar kita, tau?



Itu lah...Kita memang tak reti bersyukur kadang-kadang. Kalau tak reti bersyukur, macamana nak tau reti bahagia. Kan?