Tuesday 29 April 2014

digaru?

Cameron Highlands
Tanah Rata
Nyonya dan Suria
stroberi salut coklat
teh panas dan scone
kaktus dan sayur
bukit kebun teh
udara nyaman 
taman penuh bunga
kawan-kawan lama

hati bagai digaru
rindu
teramat rindu

rumah 1?

I LOVE House
Part 1



azimat?

bila aku memilih
untuk mengunyah duka
perlahan-lahan
dan menikmati
segigit demi segigit
setiap perit dan sakit
kemudian aku laungkan
rasa pahit kelatnya
di kertas elektronik ini
bukanlah bererti
aku meminta simpati
atau ingin kembali
menyambung mimpi

tidak.

aku hanya mahu ingat
setiap pedih luka
cinta yang dikerat
lalu mengunyah lumat
hingga sakit 
bertukar lazat
agar jadi tangkal azimat
yang akan aku kalung di leher
untuk aku kenang ingat
segala airmata, darah dan keringat
yang sekian banyak terkorban
kerana kamu





Wednesday 16 April 2014

rezeki?

pesan ibu:
rezeki itu jika sudah tertulis nama kamu
sejauh manapun adanya
pasti sampai juga kepada kamu
jatuh molek ke riba
mesti percaya
rezeki kamu
tetap akan jadi milik kamu
akhirnya

pesan ibu:
rezeki itu jika tiada bahagian kamu
walau terapung di depan mata
tiada tergapai tangan kamu
menyentuhnya
harus yakin
rezeki orang lain
tidak akan jadi habuan kamu
selamanya

pesan ibu lagi:
usah gusar
jangan kecewa
rezeki itu rahsia tuhan
tawakkal lah
DIA itu sebak-sebaik Pembuat Keputusan.

*maafkan anakmu ini, ibu
  kadang-kadang aku lupa 
  pesan azimatmu
  masih gelisah risau
  tentang rezeki esok lusa
  dan masih berkira-congak
  sama ada dia jadi atau tidak
  milik aku yang mutlak* 



kotak kasut?

Sepasang suami isteri sudah berumahtangga selama lebih 60 tahun. Sejak berkahwin, mereka berkongsi segalanya. Mereka selalu berbicang dan tidak ada rahsia dia antara kedua pasangan bahagia itu. Kecuali sebuah kotak kasut kepunyaan Si Isteri yang disimpan di atas almari. Sejak awal perkahwinan Si Isteri telah menegaskan kepada suaminya supaya tidak bertanyakan perihal kotak kasut tersebut.

Tahun demi tahun berlalu, Si Suami tidak pernah memikirkan tentang kotak kasut itu. Satu hari Si Isteri yang sudah tua itu jatuh sakit dan doktor mengesahkan bahawa dia tidak akan pulih dari penyakitnya.

Atas permintaan isterinya, Si Suami mengambil kotak kasut dari atas almari dan dibawakan kotak tersebut kepada Si Isteri yang sedang terlantar sakit. Si Isteri mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk Si Suami mengetahui kandungan kotak tersebut. Apabila dibuka kotak itu, Si Suami mendapati ada dua anak patung yang dikait dari benang bulu kambing dan wang berjumlah RM95,000.00.

Kehairanan, Si Suami pun bertanya tentang kandungan kotak kasut itu.

"Bila kita berkahwin lebih 60 tahun yang lalu, nenek saya berikan petua untuk perkahwinan yang bahagia." kata Si Isteri. "Nenek berpesan agar jangan sesekali bergaduh dengan suami. Pesan nenek, setiap kali saya berasa marah dengan kamu, saya harus mengait anak patung dari benang bulu kambing"

Hati Si suami sangat tersentuh dan terharu. Dia menahan sebak di dada. Di dalam kotak kasut tersebut cuma ada dua anak patung. Ini bererti sepanjang perkahwinan mereka, Si Isteri hanya berasa marah terhadapnya sebanyak dua kali sahaja. Si Suami terasa sangat bahagia dan bersyukur kerana dia dan isterinya menjalani hari-hari yang penuh berkasihsayang sepanjang perkahwinan mereka.

"Sayang..." kata Si Suami. "itu cerita tentang anak patung. Apa pula cerita tentang duit di dalam kotak ini? Dari mana datangnya?"

"Oh..." kata Si Isteri. "duit itu ialah dari hasil jualan anak patung lain yang telah saya jual sejak kita berkahwin"





mwehehehehe





Monday 14 April 2014

satu hari?

akan datang satu hari
bila aku tidak teringat kamu lagi
tidak terkenang
tidak terfikir
tidak tercari-cari
wujudnya kamu

akan datang satu hari
bila aku sudah tidak cinta kamu lagi
tidak kasih
tidak rindu
tidak tertunggu-tunggu
hadirnya kamu

akan datang satu hari
bila jiwa aku tidak bergetar lagi
saat bibir tersebut nama kamu
mata tertangkap kelibat kamu
telinga terdengar suara kamu
atau tatkala hidung
terhidu harum kretek kamu

akan datang satu hari itu
tapi hari ini
bukan hari itu 



Wednesday 9 April 2014

no reason?

'just give me a reason
just a little bit's enough
just a second
we're not broken
just bent
and we can learn to love again'
~pink

Monday 7 April 2014

nikmat?

adakah melukakan aku
jadi keutamaan 
dan keseronokan
kepada kamu?

adakah setiap lukaku
menjadi satu nikmat
dan pencapaian peribadi
paling hebat 
buat kamu?

percaya?

kamu ukir janji
bina tugu harapan tinggi
gantung umpan warnawarni
salut kata dengan gula
semua cantik belaka
aku jadi percaya apa saja
walau kamu kata
dua campur dua jadi lima

kemudian setiap janji
kamu mungkir
setiap kata
tidak dikota
aku jadi luka
tapi kamu peduli apa
kamu kata siapa suruh percaya
bila kamu bercerita
kisah ular lidi tertelan naga
kamu hanya berjenaka
aku bodoh percaya kenapa?


bersalah?

luka yang kamu tinggalkan dulu
belum pun sembuh
masih berdarah
berdenyut-denyut 
dan ngilu

aku sangka
kamu datang kali ini
dengan ubatnya
tapi lain pula
yang kamu bawa

luka separah ini
kamu gosok lagi dengan garam
kamu curah air asam
dan simbah dengan cuka
makin luas ternganga
luka yang belum bertangkup
dagingnya

kamu ketawa dekah-dekah
dakwa kamu aku yang salah
tak habis nak bertelingkah
tak henti mencari padah
aku sendiri yang tempah musibah
mengapa kamu pula yang dipersalah?

tentulah
tak mungkin kamu bersalah
dulu, kini dan selamanya
tak pernah kamu yang bersalah







berhenti berharap?

aloyah:  tsk...tsk..tsk! kami panggil orang-orang yang macam kau ini 
             cik BINGAI BINTI BONGOK!

aloyah akan mula berhujah. aku tahu. dan aku biarkan.

aloyah:  bila dia mula sms, hantar msg kat wassap la, wechat la kau 
            mula lupa diri. kaaaan..?

bila aku tidak respond, aloyah menyambung hujah. 

aloyah:  bila dia bermanis-manis dengan kau, kau suka hati? seronok?

itu soalan rhetorik. aku tidak perlu jawab.

aloyah:  kau fikir bila dia tunjuk baik macam tu, dia dah berubah dan sayang 
           sangat-sangat pada kau?

aloyah:  kau fikir bila dia menabur janji itu ini, dia dah berubah jadi suci jiwa
            dan gilakan kau setengah mati?

aloyah:  kau fikir bila dia mula beri perhatian pada kau
            dia dah berubah? begitu?

rhetorik!

rhetorik!

rhetorik!

Aloyah datang dekat dan genggam lembut kedua-dua bahu aku.
dia pandang aku dalam-dalam. pandangan tajam itu merobek-robek dinding
kekuatan jiwa dan aku terpaksa larikan mata. Dia goncang bahu aku dan aku 
terpaksa juga pandang matanya yang menghukum.

aloyah:   tengok apa dah jadi sekarang? inilah balasan orang yang namanya bingai.

aku diam. aku tidak kuasa untuk memintas atau melawan kata-kata dia. aku culas.

aloyah:   a leopard doesn't change its spots. not for anyone. not for anything.
             not even for LOVE.

itu kenyataan yang maha pedih. aku larikan mata saat airmata berlari laju menuruni 
pipi. aloyah goncang bahu aku lagi. Mata kami bertentang untuk kali yang entah 
ke berapa. 

senyap seketika. 

aloyah menarik nafas dan dengan nada yang lembut tapi tegas 
dia sambung bicara

Aloyah:   tolonglah...aku benci lihat kau luka begini. kau berhenti berharap ya...

aku angguk lemah dan tunduk memandang jari kaki
dengan pandangan berkaca.


*ku salute-kan kemenanganmu*





Thursday 3 April 2014

rupa ibu?

ibu
mereka kata
aku dapat rupamu
sama seiras
saling tak tumpah
wajah kamu seperti ibu
mereka kata begitu

ibu
aku dapat wajahmu
matamu
bibirmu
keningmu
tapi alangkah baiknya
jika aku juga dapat
sabarmu
cekalmu
dan 
santunmu. 

ibu
ajari aku
untuk jadi seperti mu.



~al fatihah~
Rohani binti Abdullah
19 April 1937 - 30 August 2005
*rindu*


Wednesday 2 April 2014

menyapa?

saat kamu menyapa
resah di dada
reda
aku lega
hati penuh bunga



aku suka!

Tuesday 1 April 2014

ganti?

enam jam
kita bersama
minum kopi
makan tengahari
ceritaceriti
ketawa
senang hati
rindu diubati

tapi harus disedari
enam jam bahagia
tidak dapat ganti
sakit hati yang luka
bertahun kita bersama




nama?

kamu bisa saja
panggil aku
sayang
manja
kasih
cinta
nyawa
baby
mahupun B

apa ada pada nama?
jika tidak membekas
di hati
tiada makna
tiada erti
mungkin kebiasaan
atau hanya permainan
lembut gigi dari gusi




wajah?

yang tertera di wajah
dibaca mata mungkin salah
hanya dimengerti
dengan rasa hati
yang mahu memahami.

pujuk?

merajuk
hati dijeruk
hingga pahit
dan kecut
mereput dan busuk
tiada siapa pujuk!