Sunday 30 March 2014

ahad pagi?

ahad pagi
celik mata
kebil-kebil
pandang siling
terbayang kamu
aku jadi sepi.

ini ahad baru
tapi teringat kamu
rasa tetap sama
seperti kelmarin
aku jadi pilu

aku hitung hari
sejak kamu pergi
walau ahad silih ganti
kamu kekal
bermaharajalela
di hati

pagi ahad ini
aku tidak mahu duka lagi
atau airmata
atau gundah gulana
aku gegas bangun
dan cari kopi

ahad ini
aku minum kopi
nyanyi-nyanyi
goyang-goyang kaki
aku tidak mahu sunyi lagi



Thursday 27 March 2014

kami?

kami wanita waja
cekal meniti usia
bahu sarat pilu
hati kecai seribu
jiwa sendat sendu
lihat dunia dari kacamata sayu
tapi kami mampu
senyum semanis madu
tiada siapa tahu
di tekak tersengkang hempedu

dewasa?

apabila mereka mengharap kita melompat, melatah dan marah 
setiap kali kita 'dicuit' mereka, sebaiknya kita hanya duduk, senyum 
dan diam.

alangkah baiknya begitu!

senyum dan diam.

semata-mata kerana kita faham masalah mereka 
dan kita mampu memaafkan.

tiada drama, tiada dendam
hanya senyum.
diam.

bukankah kita ini orang-orang dewasa dan MATANG?

Wednesday 26 March 2014

misteri?

lautan hindi
terbukti berkali-kali
kamu kawasan paling ngeri
tidak berani dihampiri
ombak bergulung tinggi
angin furious forties
suhu di bawah kosong degrees
ajal usah dicari
kamu lantas dihindari
dibiar sepi
bermisteri sendiri

lautan hindi
ini hari
kamu jadi tumpuan kami
dalamnya kamu mahu kami selami
mencari jawapan pasti
ada hati yang perlu diyakini
ada jiwa yang mahu kekasihnya kembali
samada ke sisi
ataupun kepada illahi

lautan hindi
ini kali
amukmu mohon dihenti
nyaman dan tenang lah untuk kami
ungkaikan misteri
agar ditemui
yang kami cari-cari


#tragediMH370

Tuesday 25 March 2014

hush!

hush!
i don't want to know anymore
it's gone
forever gone
nothing else matters
nothing left to say
only pain remains

hush!
let it rest
let me grieve
let them all 
rest in  peace




Hari Yang Hitam

hari yang hitam
aku hilang
ayah
ibu
suami
isteri
anak
cucu
atok
nenek
adik
kakak
abang
saudara mara
rakan
kenalan
semua ditelan lautan
dalam dan kelam

hari yang hitam
jiwa aku hilang
dalam riuh yang diam

#tragediMH370



Monday 24 March 2014

kawan?

ketika duka lara
kadang-kadang
kita tidak perlukan
nasihat
solusi
kritikan
maupun kata-kata

yang kita perlukan
seorang kawan
yang mengerti
lalu bikin kopi
dan duduk bersama kita
dalam sepi






































*Mterima kasih untuk kopi.
  dan kerana memahami*




otak?

















p.s
selamat malam, kamu.
esok aku perlu ingat untuk lupakan kamu.



Sunday 23 March 2014

mahu pulang?

kamu ulang-ulang
jika aku mahu pulang
kamu tidak halang
pintu tidak kamu rintang
di hati kamu aku masih diberi ruang
bila-bila saja aku bisa pulang

kamu ulang-ulang
TAPI jika aku mahu pulang
ada terma dan kondisi
ada undang-undang
ada polisi
ada pantang larang
aku harus begitu begini
mengikut syarat dan spesifikasi
jika aku sedia patuhi
baru aku bisa pulang  kembali

aku ulang timbang
mahukah aku pulang?
salah aku tiap satu kamu adili
sedang silap sendiri
satupun tidak kamu selidiki
ini cerita kita yang usang
aku bilang salah kamu
kamu bilang salah aku
kembali diulang tayang
tiada apa yang baru
mahukah aku pulang?

aku juga mahu ulang
sejujurnya aku akui
kamu masih aku sayang
sedalamnya aku  hargai
aku diberi peluang untuk pulang
tapi aku sudah digigit berulang-ulang
siapa bilang
aku mahu pulang?


Saturday 22 March 2014

biasa-biasa?

dari mulanya kamu luarbiasa
aura penuh tenaga
idea tajam berbisa
seperti samurai dengan pedangnya
siap siaga bertempur apa saja


aku terkesima
dengan mulut ternganga
~kasmaran


kini kamu sudah jadi biasa-biasa saja
terkadang jadi kurang dari biasa
tapi kamu bilang tidak apa
ini cara yang kamu suka
jadi yang biasa-biasa
biarkan saja


aku menguap
mulut luas ternganga
~bosan






luarbiasa?

usaha kamu
biasa-biasa saja
tapi berharap mendapat
yang luarbiasa?

kehkehkeh
kamu ini memang aneh!

Sang Pencinta?

Sang Pencinta
datang segera
dengan kasihmu
agar jadi antidot mujarab
mengubat lega
sakit sengsara
luka derita
duka nestapa
biar cepat kering airmata

Sang Pencita
datang segera
dengan sayangmu
agar jadi penawar hikmat
menyembuh rawat
hati yang berdarah
jiwa yang punah
semangat yang patah
biar cepat dia aku jadikan sejarah






Friday 21 March 2014

resah?

begini lah...
mengingat dan teringatkankan kamu
sering bikin aku sedikit resah!

baiklah...baiklah... kamu menang!
bukan sedikit.
tapi
banyak resah.




siang?

malam tadi
kamu bertandang lagi
sambil minum-minum kopi
kita cerita-ceriti
tentang
ideology
keajaiban teknology
kerenah penghuni bumi
politik dan hipokrasi
twitter dan FB
MH three-seventy
bomoh DO-RE-MI
setia sumpah janji
dan entah apa lagi

lengan aku kamu cuit
kamu tunjuk ufuk langit
matahari mula terbit
kita pandang dengan jemari berkait

tatkala aku toleh
kamu hilang lenyap
mata aku tenyeh
dan  kuak langsir tingkap
bilik tadi gelap
kini sudah terang  
cepatnya pula siang datang
mimpi manis terbang hilang
dan realiti memang pahit kadang-kadang!





malam?

Kadangkala ada malam-malam yang terasa terlalu
panjang. Dan sangat sunyi.

Malam ini ialah di antara malam-malam yang sebegitu.

Dan sungguh aku benci malam-malam seperti ini.


Selamat malam, kamu.


p.s
Aku rindu.
Kamu?

Thursday 20 March 2014

batu sesalan?

dia korbankan jiwa raga
kunyah dan telan derita
gadai apa saja
hingga tinggal tiada apa
untuk dirinya
demi kamu bahagia

sedang kamu bila tentang dia
berkira tenaga, wang dan masa
kamu saja yang mahu bahagia
seperti kamu sudah lupa
yang tinggal padanya
hanya kamu saja
jadi teman ketawa
tempat tumpang bahagia
di hujung sisa usia

tatkala kamu terdaya
dan mampu melakukan
tapi tidak kamu lakukannya
demi bahagia dia
itu jadi batu sesalan
maha kelat untuk ditelan
yang terus memberat di jiwa
tiap kali kamu teringat dia
dan betapa kamu bahagia
tika ada dia
walau selepas
dia sudah lama tiada

p.s
untuk arwah ibu, walau telah puas kuumpil,
batu sesalan itu terus melekat ketat dijiwaku. 

untuk anak-anakku, harap kalian
tidak akan rasa betapa kelatnya batu itu.

untuk kamu, betul seperti kata kamu. aku ini 
sememangnya berkepala batu.


cukupkah?

pagi ini
seperti pagi-pagi kelmarin
aku ada matahari
aku ada kopi
aku ada dengar burung bernyanyi
aku ada nampak bunga warnawarni
~
~
~
~
tapi aku tidak ada 
kamu di hati
~
~
~
~
~
cukupkah?

bukan kamu?

ketika di bilik mandi
talipon berdering bertali
rambut penuh syampu
aku gegas meluru

separa aku berharap
yang memanggil itu kamu
mungkin seperti aku
kamu juga rindu

namun separa aku yang lagi satu
sangat tahu itu bukan kamu
kamu tidak begitu
walau digigit rindu
kamu tetap membatu
memanggil aku
itu bukan seperti kamu

langkah aku mati
lantas kembali ke bilik mandi
dering talipon terus bertali
itu bukan kamu
yang selainnya buleh tunggu





Wednesday 19 March 2014

gila?

bila aku bilang kamu gilakan dia
kamu bilang kamu tidak apa-apa
cuma aku ini sudah gila
berfikir yang tidak-tidak
yang tidak enak
dan aku ini seharusnya 
kenal kamu itu macamana

aku tidak gila
dan aku kenal 
kamu itu macamana
kerna aku juga
satu ketika dulu
pernah jadi seperti dia
yang kamu gila-gilakan
tiap waktu

aahh...masakan aku tidak kenal
kamu itu macamana
bila sudah gila
mabuk cinta 
dibuai asmara!




Tuesday 18 March 2014

jika?

jika malam ini
nafas aku terakhir kali
adakah aku akan kamu rindu
walau aku sering bikin kamu sayu?


jika malam ini
hayat aku tamat
adakah aku akan terus kamu ingat
walau kita tidak lagi seerat?


jika malam ini
aku tidur dan tidak bangun-bangun lagi
adakah aku akan kamu tangisi
dan mahu aku hidup kembali?


jika malam ini
aku mati
harus kamu mengerti
kamu masih kesayangan hati




Monday 17 March 2014

molek atau jelek?

memori molek
kekal molek
selagi mana 
dibiarkan ia 
tumbuh cantik 


memori molek
jadi jelek
andai bersulam
kesumat dendam
yang jijik dan pelik.




kalah?

aahhh...kita perempuan
memang kalah dengan pujian
dan perhatian

sekeras mana pun kita

akan lembut juga
akan kalah akhirnya

Sunday 16 March 2014

paling celaka?

perasaan cinta

sekejap menyala 


sekejap padam


itu paling celaka


harus terus dihumban


terbenam


ke dalam neraka


yang paling jahanam!


cokelat, kopi dan kamu?

mengingati kamu
sama seperti mengingati
cokelat dan kopi
memberangsang imaginasi
seorang aku

cokelat dan kopi seperti kamu

membahagiakan ketika sedih
menyegarkan ketika layu
tiada cokelat dan kopi
tidak sempurna hidup
seorang aku

cokelat, kopi dan kamu:

sumber kekuatan 
dan kelemahan
seorang aku.

Friday 14 March 2014

capjari?

beritahu aku
capjari kamu 
yang kamu tinggalkan
berselerakan
disegenap pelusuk jiwaku ini
harus aku apakan?


memadamkannya

ternyata sia-sia
semata

keliru?

usah keliru
antara 
cinta
dan rindu

cinta

semestinya 
membuat kita rindu

rindu

kadangkala
belum tentu
bererti kita cinta

dua perkara berbeza

mudah kita keliru
adakah kita hanya rindu
tapi tiada cinta

atau mungkin

kita rindu
dan sebetulnya
kita benar-benar cinta




Wednesday 12 March 2014

mohon?

5 hari berlalu
5 hari yang panjang
5 hari yang meruntun kalbu


5 hari

kami tetap berharap
kembalikan
kembalikan mereka
ke pangkuan kami
kami mohon Ya Rabb
permudahkanlah urusan kami
angkatlah kesedihan kami
kembalikan mereka ke sisi kami

Aamiin Ya Rabb...aamiin.




Sunday 9 March 2014

tunggu lagi?

kita tidak tahu
adakah kita diberi peluang
untuk tatap wajahnya
bila dia peluang
petang nanti

atau
kita punyai rezeki
mendengar suaranya
saat kita merehatkan diri
malam ini

kita tangguh
melafaz sayang
memohon maaf
mengota janji
mengucap rindu

kita kata:
-nanti
-tunggu
-sekejap lagi
-lain kali

saat ini
malaikat maut memandang
senarai yang diberi
menatap wajah empunya diri
mencabut nyawa
insan yang kita kasihi

setiap saat kita ini
sibuk urusan sendiri
yakin dan pasti
masa ada lagi
tunggu lain kali

dan kita tangguh lagi
ucapan sayang
untuk yang dikasihi
hanya menyesali diri
bila dia diambil Illahi

p.s
aku sayang kamu
sepanjang hidupku
dan kamu tahu itu.






Saturday 8 March 2014

bicara wanita?

wanita itu
bicaranya lembut
membelai sukma kamu
saat kusut dan kalut

wanita itu
bicaranya semangat juang
kamu jadi mampu
alih gunung ke dalam jurang

wanita itu
bicaranya air penawar
merawat jiwa kamu
yang parah dan nanar

wanita itu
bicaranya bila sudah luka
bisa-bisa saja bikin kamu
hidup seakan di dalam neraka

p.s
seperti nescafe yang aku bancuh tanpa susu, buleh diminum juga.
begitulah aku rasa hidup wanita tanpa
lelaki, buleh saja. Tapi...ya mungkin...jadinya,
kurang enak!
Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia.


Friday 7 March 2014

tanduk?

aloyah:  Dah macam ayam berak kapur kamu ni!
aku:      Aku okay jer.
loyah:    Perlu diingat ya...dia itu...ada kamu atau tidak, sama saja.
             Tidak jadi kudis pada dia. Mungkin lebih bahagia. Complete Euphoria!
aku:       Biarlah dia. Kami dah tak ada kena mengena.
aloyah:   Ini...ambik ni! Ini kepak kamu. Pakai!
aku:       Iyelah...
aloyah:   Itu...sana tu...langit luas. Pergi terbang!
aku:       Iye lah...
aloyah:   Pergi terbang. S.E.K.A.R.A.N.G!
aku:       Baik lah...
aloyah:   Terbang dan pandang-pandang.
aku:       Tahu lah!
aloyah:   Tanduk nak tak?!

Aku pandang sepasang tanduk berkilauan di tangan aloyah. Sudah lama
aku tidak lihat tanduk itu. Aku usap ia perlahan-lahan. Kedengaran muzik lunak
gemalai ketika jejari ku menyentuh permukaan gemerlapan itu. Mengasyikkan.
Mempersona. Menggoda. Aku telan liur.

Aku dan aloyah berpandangan. Dia senyum penuh makna.

Aloyah:  Mau?
Aku:      Ini simpan dulu.

Aku pun terbang ke langit biru. Harap-harap aku tidak perlu memakai tanduk itu
lagi. Biarlah ia terus tersimpan saja di dalam almari.



tapak-tapak kaki?

tidak pasti
apa yang dicari
kembali lagi 
ke sini

mungkin harap ketemu
sejalur pelangi
seberkas rindu
dan serpihan diri

perlu apa kembali
sedang aku mengerti
tiada apa lagi di sini
kecuali tapak-tapak kaki
menuju ke alam mimpi ngeri



lain-lain?

bila kamu sudah suka
alasan kamu berjela
benang basah dibela
kamu sudah suka
kamu joget gembira

bila aku tidak suka
apa yang kamu suka
aku diam saja
tenang di muka
kecamuk di jiwa

begitulah adanya
hati kita lain warna
definasi bahagia berbeza
dunia kita sama
tapi cinta kita
tidak serupa

kekasih?

secawan kopi

menemani pagi

seperti kekasih

setia menanti

tidak lari pergi

tidak lukakan hati


Thursday 6 March 2014

mati?

aku lebih rela
menyusuri hari-hari
sepi dan mati
sendiri
tanpa kamu

begitu lebih baik

daripada
dipandang sepi
seakan aku sudah mati
bila
berada berdua
dengan kamu

Wednesday 5 March 2014

mohon tabah?

bila badai singgah
impian bahagia pecah
istana cinta musnah
hidup jadi payah
airmata jadi murah
mencurah tanpa diperah

Sahabat...bertahanlah.
semua akan berubah
gelap akan cerah
kelam akan meriah
pentingnya harus tabah
semangat usah patah!
pada DIA kita berserah
nanti pasti ada pelangi yang indah.






pesan mata?

"keraslah wahai hati
jangan keras-keras kerak nasi
usah selembik bingka ubi
usah dikejar dia yang pergi
kelak kau dia  lenyek-lenyek lagi
aku juga yang menangis nanti."
~pesan mata kepada hati.

Tuesday 4 March 2014

hari tiga?

masa akan merawat luka
akan membuat kita lupa
akan memulih jiwa
~
~
~
berilah masa masa
~
~
~
berilah diri masa

Monday 3 March 2014

terbanglah?

saat aku bilang
aku ingin terbang
tinggalkan sarang
tinggalkan kita
tinggalkan semua
kamu bilang, 
"Pergilah. Kau buleh terbang."

tidak kamu halang
tidak kamu larang
tidak juga kamu tanya
mengapa aku mahu terbang
kamu cuma bilang,
"Pergilah. Pergilah terbang."

Mungkin hakikatnya
kamu juga ingin terbang 
tinggalkan sarang kita
tinggalkan semua
tapi kamu cuma tunggu
aku yang bilang dulu
lantas kamu terus bilang,
"terbanglah dan usah pulang-pulang."



perempuan halimunan?

perempuan halimunan itu
satu rahsia cinta
tersimpan kemas wujudnya
di dalam hati Sang Pencinta
terlihat tidak di mata dunia
hadirnya ada seperti tiada

perempuan halimunan itu
kasih dan cintanya
ditagih mengikut masa
saat ditinggal tiada berita
menjeruk duka berulam hiba 
sendiri tanggung sendiri rasa

perempuan halimunan itu
di luar tenang tiada gelora
cacat dan rumit bergelodak di jiwa
bergolek luka menggolek pun luka
tangan menatang bahagia
kaki memijak sengsara

perempuan halimunan itu
pilih digari sulit dan peribadi
insan lain usah dilukai
menyendiri menyulam hari
menunggu giliran dalam sepi
sehingga Sang Pencinta kembali ke sisi

perempuan halimunan itu
bahasa cinta yang dikendong
tiada nilai tidak disanjung
mempelawa sumbang dan canggung
pada mata-mata yang memandang serong
terus menghukum tiada penghujung