Monday 24 February 2014

hebat?

Satu malam, empat tahun dulu, aku berjumpa seorang kawan baru. Waktu itu aku berumur 44. Kawan perempuan aku itu sudah di awal 50an. Mungkin 51 nak masuk 52. Cantik. Lincah. Bersemangat positive. Dan sangat konfiden. Malam itu diterangi oleh cahaya dari mata dia. Serius aku kagum.

Malam itu, sebelum pulang, ketika mengucapkan 'goodbye' yang memakan masa 10 minit atau lebih...dia berkata kepada aku..."kalau kau suka umur kau sekarang...kau tunggu bila kau masuk 50. Masa tu baru kau tahu...40an hidup baru bermula...bila dah 50 baru kau tahu...kita semakin hebat." 

Kalau sebelum ini aku memang rasa selesa dan ya...mungkin 'hebat' ketika berumur 44...tapi selepas mendengar dia berkata begitu, aku jadi tertanya...sehebat mana lagi?  Seperti dapat membaca hati aku, perempuan 'hebat' itu menarik aku dekat dengannya dan berbisik "nanti kau akan tahu." Selepas berlaga pipi dengan pipi kami pun berpisah. Kami tidak pernah berjumpa lagi selepas itu.

Sekarang, empat tahun kemudian, ketika usia merangkak ke ambang 50an, aku mula faham apa yang dia kata. 'HEBAT' memang perkataan yang tepat. Menjadi tua dan tidak sendat di sini sana itu memang biasa di usia sebegini. Tapi itu isu luaran. Itu kita cerita lain kali. 'HEBAT' yang dimaksudkan di sini ialah hebat di jiwa dan di minda. 

Ada sesuatu yang manis tentang '50' yang agak sukar diterangkan. Yang aku berani cakap begini, aku sangat selesa dengan 'kulit' yang aku pakai sekarang. Ia memberikan aku suatu kekuatan dan ketenangan yang luarbiasa untuk merempuh badai kehidupan dengan yakin yang total. Tidak buru-buru. Tidak kalut atau takut melulu. Setiap masalah yang timbul (dan masalah aku tidak terhitung banyaknya, percayalah!) aku yakin tuhan mahu aku tawakal dan redha dengan keputusanNya dan bersandar harap hanya pada Dia. Dia maha berkuasa dan Dia tidak sesekali menganiayai hambaNya. Jadi mengapa perlu gabra dan gundah gulana? Allah kan ada? Yakinlah dengan tenang, semuanya akan baik-baik saja.

Di usia yang sebegini, diberiNya aku kekuatan, keyakinan dan ketenangan yang sebegini.. inilah nikmat namanya. Inilah hebat namanya. Alhamdulillah. 

Dan sekiranya ada jodoh aku berjumpa kawan itu sekali lagi, aku nak cakap pada dia begini, "Yes Sherry, you are right... di usia 50an, kita memang hebat!" dan aku akan peluk dia erat-erat.




Yang akan terus kekal hebat,
SueSenahAnderson.














No comments:

Post a Comment