Saturday, 28 June 2014

awan?

kawan
bilang sama aku
mengapa tiap kali
terpandang langit biru
yang berawan
atau tiada awan
aku sering teringat kamu?

Friday, 27 June 2014

tidak lupa?

abang jangan ingat
mulut adek sudah lupa
menyebut nama abang
mata adek sudah lupa
rupa senyum abang
telinga adek sudah lupa
alun suara abang
adek tidak pernah lupa
semua seperti sediakala
walau abang sudah lama tiada

abang jangan ingat
adek tidak lagi
berasa perit 
atas kehilangan abang
atau
ketika terkenang abang
atau
ketika terlihat 
orang yang seakan abang
atau
ketika terjaga di pekat malam
tercari-cari bayang abang
di celahan mimpi yang tersisa
semua masih adek rasa
walau abang sudah lama tiada

abang jangan ingat
adek sudah lupa
mesra kasihcinta abang
belai manjasayang abang
adek tidak pernah lupa
semua masih ada
seperti darah
seperti udara
abadi dan sebati
dalam diri
walau abang sudah lama pergi.


                                        'bercerai mati batasnya di dunia, sayang
                                         di akhirat kita berjumpa pula.'
                                         ~Serunai Malam, Bing Slamet
                              


*semoga abang sentiasa tenang di sisiNya.
  Aamiin.
  Al-Fatihah*


Thursday, 26 June 2014

jangan?

jangan kata
          tunjukkan


jangan cakap
          buatkan


jangan janji
          buktikan


bila lisan
tidak selari
dengan niat
pasti ada
yang rasa
terkhianat



Wednesday, 25 June 2014

kopi, lelaki tua dan aku?

aku dan lelaki tua ini
kami sama-sama sunyi
duduk di tepi sini
memandang kosong
hari yang deras berlari
bertukar silih ganti
sambil menghitung
tasbih di jari

untung ada kopi
penenang hati
peneman sepi
sambil menunggu
hari mati.



sedikit kebaikan?

kawan kata otak aku sudah berkarat kerana terlalu lama terperuk di rumah. Katanya lagi, aku perlu menghirup udara segar di luar sebelum karat jadi lebih mudarat. maka dengan itu, temujanji untuk makan malam pun dipersetujui tanpa perlu banyak desakan atau main tarik-tarik tali.

betul lah seperti dia kata, sudah terlalu lama rupanya aku tidak melihat dunia sebab malam itu setiap satu yang terakam di mata, kelihatannya sangat indah. seperti aku tidak pernah melihat sebelum ini. Seperti Si buta yang baru dapat mata.

Juga udara malam yang meresap ke dada terasa sangat menyegarkan. Tidak bernafaskah aku sebelum ini?

Sambil menikmati juadah di bawah langit terbuka yang tidak berbintang, kami tidak putus berborak. kadang-kadang serius. kadang-kadang ketawa. kadang-kadang bertekak. Aku sudah lupa bila kali terakhir aku berkomunikasi dengan orang lain serancak dan selancar ini. Perbualan dua hala yang mencabar minda. Seronok dan  aku rasa seperti  'hidup' semula. Matikah aku selama ini?

Sepanjang perbualan, kami sedari yang sering timbul dan diulang-ulang sebut ialah isu 'kebaikan'; memperlakukan orang dengan sebaik dan selayaknya. Layani lah orang lain sebaik-baiknya sepertimana kita mahu dilayani. Dalam banyak situasi, kita ini bukan minta ditatang atau ditimang-timang. Yang kita perlukan ialah untuk orang hormatkan kita sebagai manusia yang ada perasaan. You cut me, i bleed. Just like you do. Ringkasnya, jika kamu tahu, diperlakukan dengan baik itu menyamankan dan menenangkan kenapa kamu tidak melalukannya kepada orang lain? Tidak mengambilkira dan tidak menjaga perasaan orang lain, itu bukan dinamakan kebebasan. Itu satu kekejaman. Plain and simple.

Ramai yang tahu hakikat ini tapi memilih untuk tidak ambil tahu dan buat-buat tidak tahu. Pejam mata, buat donno dan kata, "ada aku kesah?".

Kami angkat kaki bila kopi sudah sampai ke titisan terakhir dan topik perbualan yang sama sudah mula berulang-ulang.

Malam itu aku tidur seperti kayu. Lena yang sangat-sangat enak. Esok paginya aku bangun dengan minda baru yang lebih segar dan senyum melebar.

Terima kasih kawan, udara yang segar malam itu berjaya mengikis karat yang berkeladak di otak aku ini. i have to completely agree with you when you said,   'A little bit of kindness goes a long way.' hey, look what your little kindness did to me...it put back sunshine in my soul!

Thank you.